Apabila disahkan positif mengandung, tentu bermacam perkara bermain di fikiran anda. Persoalan bagaimana selepas ini, apa langkah seterusnya dan sebagainya lagi berlegar-legar di kepala.

Bersiap Hadapi Tiga Trimester Kehamilan

Persediaan untuk bergelar ibu seharusnya bermula sejak awal dan sebaiknya bermula sebelum hamil lagi. Bakal ibu perlu mengambil tahu maklumat tentang kehamilan.

Menurut Pakar Obstetrik& Ginekologi Pusat Perubatan Barakah, Dr Khairiah, wanita yang merancang untuk hamil perlu memastikan kesihatan mereka berada pada tahap optimum dan mengamalkan cara hidup sihat.

Jika ada sebarang penyakit yang dihidapi seperti darah tinggi, buah pinggang dan sebagainya, mereka perlu berbincang dengan doktor dan pastikan kesihatan pada tahap optimum kerana berisiko mendapat keguguran atau kecacatan bayi.

Beliau membahagikan perubahan yang patut dijangka oleh bakal ibu kepada tiga trimester. Setiap trimester mengambil tempoh tiga bulan. Jumlah masa tiga trimester adalah 9 bulan.

1. Perubahan paling biasa berlaku adalah rasa loya, muntah, selera makan berubah, keletihan berlebihan, sakit di payu dara dan kekerapan membuang air kecil.
2. Untuk mengurangkan rasa loya makan dengan kerap dalam kuantiti yang sedikit dan elakkan makanan berminyak atau berempah.
3. Jika ibu mengalami alahan teruk sehingga tidak boleh makan langsung, jangan paksa untuk makan sebaliknya cari apa yang boleh diterima oleh tekak dan pastikan berjumpa doktor untuk rawatan.
4. Banyakkan berehat untuk mengurangkan rasa keletihan yang dialami.
5. Jangan lupa makan asid folik, sebaiknya mula makan sekiranya merancang untuk mengandung.
6. Persiapkan mental untuk menghadapi perubahan yang berlaku.
7. Jangan terlalu risaukan keadaan janin dalam rahim jika ibu terlalu teruk mengalami alahan. Janin tetap sihat dan membesar kerana dia mengambil khasiat yang diperlukan daripada badan ibu.
8. Cari coli yang lebih selesa dipakai kerana ketika ini payu dara mengalami perubahan saiz dan akan menjadi lebih sensitif.
9. Jika anda masih lagi menyusukan anak terdahulu dan keadaan kesihatan baik serta tidak mengalami loya dan alahan teruk maka ibu boleh terus menyusukan bayi tetapi jika keadaan ibu teruk, dinasihatkan berhenti menyusukan bayi. Berbincanglah dengan doktor anda tentang hal ini.
10. Anda digalakkan membuat pemeriksaan antnenatal pertama pada trimester ini untuk memastikan keadaan kandungan normal dan mengetahui tarikh jangkaan bersalin yang betul terutama jika anda lupa tarikh haid atau haid anda tidak menentu.

Trimester 2
11. Hadapi trimester kedua dengan gembira kerana waktu ini keadaan ibu sudah semakin stabil dan bebas daripada alahan serta saiz badan masih belum membesar dengan ketara lagi.
12. Rasa sakit pada payu dara juga semakin berkurangan kerana hormon sudah stabil.
13. Ibu digalakkan melakukan senaman sebab ia boleh membantu mengekalkan kesihatan sepanjang hamil dan memberikan stamina semasa bersalin. Contoh senaman terbaik adalah berenang, berjalan dan yoga (mengekalkan fleksibiliti otot).
14. Ibu berkemungkinan besar akan selalu rasa sakit pinggang/belakang badan sebab ada kaitan dengan postur badan. Oleh itu pastikan ibu duduk dengan tulang belakang sentiasa tegak agar dapat mengurangkan sakit belakang. Ibu perlu tahu tentang postur-postur yang betul untuk mengelakkan sakit belakang.
15. Ibu juga akan mudah mengalami sembelit. Pastikan banyak minum air, makan buah-buahan dan sayur-sayuran.
16. Pilih baju yang longgar dan selesa dipakai sepanjang hari. Ketika ini rahim ibu mula keluar sebab perut semakin besar jadi tidak selesa apabila memakai pakaian yang ketat.
17. Emosi ibu semakin stabil. Bagi ibu yang beragama Islam, banyakkan solat, berzikir dan membaca Al-Quran.
18. Ibu digalakkan makan buah kurma, kekacang seperti badam dan susu untuk pembentukan otak bayi yang sihat.
19. Jika anda ibu yang ada penyakit seperti darah tinggi, buah pinggang, pastikan tahap kesihatan di tahap optimum ketika hamil sebab ada risiko kelahiran pramatang atau pembesaran bayi terganggu.
20. Komplikasi ketika kehamilan seperti penyakit diabetis, darah tinggi boleh berlaku selepas tempoh 20 minggu kehamilan.
21. Penyakit anemia iaitu kekurangan zat besi boleh berlaku pada mana-mana trimester. Jika paras hemoglobin rendah, ibu dinasihatkan makan suplemen zat besi dan jika teruk, ibu akan perlu tranfusi darah.
22. Kekurangan kalsium boleh menyebabkan masalah seperti kekejangan otot, gigi reput, berlubang dan osteoporosis kerana bayi mengambil semua kalsium yang diperlukan dari badan ibu. Jika ibu tidak boleh minum susu, ambil suplemen kalsium kerana keperluan kalsium ibu hamil adalah sebanyak 1200mg setiap hari.

Trimester 3
23. Saiz badan ibu semakin membesar.
24. Ibu akan berasa lebih panas, tidur tidak selesa, kerap buang air kecil, kejang otot, sakit pinggul kerana otot mula meregang untuk proses bersalin.
25. Persiapkan diri dengan infomasi berkenaan proses pelahiran anak seperti latihan teknik pernafasan dan pilihan cara untuk mengurangkan kesakitan ketika bersalin.
26. Kekalkan stamina untuk proses kelahiran dan pastikan ibu mendapat rehat secukupnya.
27. Ada bakal ibu mengalami penurunan selera makan dan ada yang sebaliknya. Jika tidak berselera lakukan seperti ketika trimester pertama iaitu makan dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap. Tetapi jika terlalu berselera, ambil makanan yang tinggi serat kerana ia mengurangkan risiko terkena diabetis di akhir kehamilan.
28. Sesetengah bakal ibu akan mengalami kekejangan kaki, bengkak kaki dan kebas tangan disebabkan water retention. Kebas tangan adalah disebabkan oleh carpaltunnel syndrome iaitu berlaku tekanan kepada saraf yang pergi ke tangan disebabkan oleh water retention. Kebas ini boleh dikurangkan dengan kerap melakukan senaman tangan.
29. Vericose vein juga banyak berlaku kepada ibu hamil. Ubat daripada doktor boleh diberi sekiranya keadaan ibu terlalu teruk. Ibu digalakkan memakai stoking elastik dan meletakkan kaki ke atas paras lebih tinggi dari badan semasa baring atau duduk.

Bersalin Di Mana?
30. Swasta atau kerajaan. Sebaik sahaja anda disahkan hamil, perkara yang mesti difikirkan ialah bersalin di mana. Apa juga keputusan yang dipilih mestilah berdasarkan bajet anda.
31. Jika anda mempunyai tahap kesihatan yang baik semasa hamil, hospital kerajaan atau swasta tidak menjadi isu utama. Sekiranya anda memang ada peruntukkan kewangan tanpa had untuk melahirkan anak, tidak salah memilih hospital lima bintang untuk keselesaan maksimum.
32. Jenis pusat perubatan – Andai anda mementingkan ciri-ciri Islamik, anda boleh membuat tinjauan hospital yang bercirikan demikian supaya aurat sentiasa terpelihara sebagai wanita Muslimah.
33. Tanyalah sama ada hospital berkenaan menawarkan doktor dan jururawat yang terdiri daripada wanita. Namun tidak semua hospital berciri sedemikian berdekatan dengan kawasan kediaman anda.
34. Dari segi lokasi hospital, pilihlah hospital berhampiran dengan kediaman untuk mengelak daripada kesesakan jalan raya supaya dapat sampai segera ke hospital di saat pelahiran sudah tiba. Anda pasti tidak mahu bersalin dalam kereta.
35. Jika berlaku kesesakan ketika itu, mintalah bantuan polis atau orang ramai bagi membantu melancarkan perjalanan anda ke hospital.
36. Pakej bersalin- Dapatkan maklumat terperinci daripada brosur pakej bersalin di hospital supaya anda tahu tentang kos tersembunyi dalam pakej bersalin.
37. Dapatkan maklumat berkenaan kos jika bersalin pada waktu malam dan waktu siang atau cuti umum. Begitu juga jika berlaku komplikasi semasa bersalin, ia akan dikenakan bayaran tambahan.
38. Biasanya pakej bersalin di kebanyakan hospital menawarkan untuk kelahiran normal tanpa komplikasi dan begitu juga pembedahan caesarean. Semua ini perlu ditanya untuk mengelak bajet anda ‘ lari’ .
39. dipilih mempunyai kelengkapan yang mencukupi untuk bayi yang mungkin berisiko dan ibu yang mempunyai masalah kesihatan. Jangan memilih pusat perubatan yang kecil dan tiada kemudahan untuk kecemasan.
40. Ada hospital swasta menyediakan ‘lawatan’ selepas ibu pulang daripada bersalin untuk melihat perkembangan bayi dan ibu.
41. Hospital mestilah mudah mendapat rawatan doktor dan bilik pembedahan serta merta.
42. Hospital mesti mempunyai beg darah mencukupi bagi sebarang kecemasan.
43. Ada hospital membenarkan suami menemani isteri bersalin.
44. Ada hospital mempunyai wad bersalin yang dilengkapi oleh teknologi CCTV bagi mengelak berlaku kes kehilangan bayi.

Persiapan Spiritual
45. Perlakuan, perbuatan dan amalan yang dilakukan oleh bakal ibu dan ayah mempengaruhi pembentukan anak yang dikandung.
46. Bagi yang beragama Islam, lakukan persediaan rapi untuk menjadi ibu bapa yang hebat kepada anak yang berperibadi mulia kelak.
47. Sentiasa memelihara akhlak sepanjang hamil misalnya banyakkan bersabar, bersikap baik dengan jiran, menghormati ahli keluarga dan teman-teman. Tingkah laku yang baik mempengaruhi sikap anak yang bakal lahir.
48. Banyak mengingati Allah dengan memohon ampun dan taubat supaya Allah akan mengampunkan segala dosa yang telah dilakukan selama ini dan seterusnya membersihkan hati dari perasaan yang tidak baik.
49. Cuba perbanyakkan amal ibadat seperti sembahyang sunat, puasa sunat terutama Isnin dan Khamis serta melakukan kebajikan.
50. Amalkan doa bagi memohon kepada Allah agar mengurniakan zuriat yang sihat, sempurna dan soleh perlu sering bermain di bibir bakal ibu dan ayah.
51. Elakkan melakukan posisi atau aksi yang boleh memudaratkan pasangan semasa berasmara.
52. Faham perubahan fisiologi tubuh badan isteri kerana suami seharusnya melayan dan menggembirakan hati isteri yang sedang hamil.
53. Gembira dan sentiasa tenang menghadapi perubahan diri yang kadang kala tidak selesa. Emosi yang tenang dan bahagia merupakan rangsangan kepada pembinaan otak seterusnya kelahiran bayi yang sihat, terangsang, pintar dan cerdas.
54. Hadirkan diri dalam majlis ilmu dan keagamaan bagi meningkatkan dan menguatkan pengetahuan keagamaan sebagai bakal papa mama agar menjadi contoh tauladan kepada zuriat yang akan dilahirkan.
55. Istighfar iaitu memohon keampunan kepada Ilahi satu amalan mulia yang mesti dilakukan oleh suami isteri terutama setiap kali selepas solat fardu.
56. Jaga pemakanan yang masuk ke tubuh bakal ibu dan juga bapa. Makan makanan yang halal dan berkhasiat kerana ia akan menjadi darah daging zuriat kalian.
57. Banyakkan berselawat ke atas junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w.
58. Layanan suami yang prihatin terhadap isteri yang sedang hamil dapat menggembirakan hati isteri seterusnya mempengaruh perkembangan sihat janin yang dikandung.
59. Memastikan isteri dalam keadaan sihat secara fizikal dan mental menjadi tanggungjawab suami kerana ia penting untuk melahirkan zuriat yang sihat fizikal dan mentalnya.
60. Niatkan dalam hati agar dihindarkan daripada segala kejahatan dan Allah mengurniakan zuriat yang sihat dan sempurna kepada anda.
61. Orang-orang yang sabar adalah orang yang sentiasa reda dengan segala dugaan yang datang kepadanya terutama ketika sedang hamil.
62. Perasaan gembira dan bahagia atas kurniaan bakal zuriat mesti ditunjukan dengan banyak melakukan sujud syukur pada Ilahi.
63. Banyakkan membaca Al-Quran, berzikir dan berdoa memohon keselamatan keselamatan sepanjang mengandung dan mudah bersalin.
64. Tutur kata suami dan isteri perlu dijaga. Sentiasa mengeluarkan kata-kata yang positif dan baik sebagai salah satu cara merangsang perkembangan emosi anak yang dikandung.
65. Jauhi diri daripada majlis-majlis yang berunsur maksiat dan mungkar semasa isteri hamil amat baik dilakukan. Oleh itu, suami isteri hendaklah menjauhi tempat-tempat maksiat seperti pesta-pesta hiburan, kelab malam, konsert-konsert yang bertentangan dengan Islam dan sebagainya.
66. Yakinlah dengan nikmat yang Allah berikan kepada wanita yang hamil dan melahirkan anak.

Doa-doa yang elok diamalkan semasa mengandung ialah :
67. Doa memohon rahmat (Al-Quran Surah Ali ‘Imran, 3 : 8-9)
68. Doa memohon zuriat yang baik (Al-Quran Surah Ali ‘Imran, 3 : 38 )
69. Doa agar anak mengerjakan solat (Al-Quran Surah Ibrahim, 14 : 40-41)
70. Surah Al-Fatihah (Untuk terang hati dan kuat ingatan)
71. Surah Maryam (Untuk memudahkan ibu bersalin)
72. Surah Yusuf (Untuk memperoleh anak yang cantik rupa dan cantik akhlak)
73. Surah Luqman (Untuk memperoleh anak yang cerdik akal dan cerdik jiwa)
74. Surah Yaasin (Untuk ketenangan hati dan anak tidak terpengaruh dengan godaan syaitan yang mengajak kepada maksiat)
75. Surat Toha (Semoga bayi lembut hati)
76. Surah Al-Nahl (Untuk melahir anak yang berdisplin)
77. Surah Hujurat (Untuk memperbanyakkan susu ibu dan anak bersifat berhati-hati)
78. Surah Al-Taubah (Untuk membersih jiwa dan terpelihara daripada maksiat)

A-Z kelengkapan untuk ibu dan bayi
79. Adakah kad pengenalan diri anda disimpan di dalam beg yang senang dicapai? MyKad anda penting kerana akan digunakan sewaktu mendaftar masuk ke wad bersalin.
80. Biasanya pada minggu-minggu terakhir kad pemeriksaan kesihatan ibu mesti dibawa bersama. Anda boleh bersalin bila-bila masa! Sama seperti MyKad, simpan ia di tempat yang senang dicapai.
81. Cuba bawa bantal kecil yang mungkin dapat dijadikan bantal tambahan ketika bertarung dengan kesakitan kontraksi. Anda boleh meletakkan bantal berkenaan di bahagian belakang badan.
82. Dalam tempoh anda mengalami kontraksi, bawalah tuala untuk mengelap muka yang mungkin kebasahan akibat peluh selain boleh digunakan untuk menyegarkan diri agar terus bertenaga menghadapi proses pelahiran.
83. Elakkan berasa tertekan sepanjang tempoh awal pelahiran. Anda boleh mendengar ayat-ayat suci Al-Quran menerusi peralatan yang tidak menggunakan wayar elektrik. Contohnya, iPod dan MP4.
84. Fasa tempoh awal pelahiran pastinya membuatkan rasa mual dan ingin muntah biar pun anda kini dalam proses pelahiran. Bagi mengatasinya, anda boleh menghisap gula-gula berangin untuk kekal selesa.
85. Gaya pakaian bersesuaian untuk dipakai ketika hari anda dan bayi dibenarkan pulang ke rumah perlu dibawa. Sebaik-baiknya, pakaian yang anda biasa pakai ketika usia kandungan enam bulan dahulu.
86. Sediakan coli menyusu dua atau tiga helai di dalam beg yang bakal di bawa ke hospital. Ini penting kerana coli ini mampu memberi sokongan kepada payu dara yang mungkin bengkak selepas bersalin.
87. Selain itu, sediakan juga pad payu dara kerana ia penting bagi mengatasi masalah susu meleleh dan mengelakkan kesan lelehan di baju yang anda pakai.
88. Jangan lupa menggunakan bantal khas ketika menyusukan bayi. Ia dapat mengurangkan risiko sakit bahu dan belakang sepanjang proses menyusukan bayi. Malah ia bermanfaat untuk anda yang mungkin melahirkan bayi secara caesarean.
89. Kekalkan keselesaan kaki semasa bersentuhan dengan permukaan lantai yang sejuk. Jadi pakailah stoking yang dapat membantu mengatasi masalah kaki mengalami kesejukan.
90. Utamakan keselesaan dengan membeli tuala wanita khusus untuk wanita bersalin, jenis overnight atau yang boleh memberi perlindungan maksimum memandangkan pada hari-hari awal selepas kelahiran, darah yang keluar adalah banyak.
91. Bagi memudahkan anda mengendalikan diri, pastikan menggunakan seluar dalam pakai buang. Ia amat praktikal terutamanya kepada anda yang mungkin bersalin secara caesarean.
92. Query-Berapa banyak pasang baju berlengan panjang untuk bayi pakai ketika hendak pulang ke rumah nanti? Pemilihan baju berlengan panjang penting kerana ia dapat memastikan bayi yang baru lahir itu kekal panas.
93. Rupa bayi pastinya comel bila bertopi. Hakikatnya majoriti haba panas tubuh bayi hilang melalui kepalanya. Oleh itu untuk memastikan suhu badan bayi kekal selesa, anda perlu memakaikannya topi.
94. Stoking atau sarung kaki amat penting. Jangan lupa untuk membawanya untuk dipakai bayi. Ia dapat memerangkap haba pada bahagian tersebut.
95. Tentu sekali kuku bayi baru lahir agak panjang dan boleh meninggalkan kesan calar apabila kukunya bersentuhan dengan muka atau bahagian tubuh lain. Oleh itu pakaikan sarung tangan untuk melindungi bahagian tertentu daripada tercalar.
96. Untuk memastikan tubuh bayi sentiasa panas, sediakan kain selimut daripada fabrik lembut supaya bayi dapat tidur dengan lena.
97. Zuriat anda pastinya mengujakan anda, jika mempunyai bajet lebih tidak salah anda menyediakan kamera atau kamera video untuk merakam detik-detik manis pelahiran si manja anda.
98. Rupa bayi pastinya comel bila bertopi. Hakikatnya majoriti haba panas tubuh bayi hilang melalui kepalanya.
99. Stoking atau sarung kaki amat penting. Jangan lupa untuk membawanya untuk dipakai bayi. Ia dapat memerangkap haba pada bahagian tersebut.
100. Tentu sekali kuku bayi baru lahir agak panjang dan boleh meninggalkan kesan calar apabila kukunya bersentuhan dengan muka atau bahagian tubuh lain. Oleh itu pakaikan sarung tangan untuk melindungi bahagian tertentu daripada tercalar.